Kemerdekaan Slovenia Sejarah_Slovenia

Kemerdekaan Slovenia direlaisasikan sebagai kesan pembubaran Yugoslavia, dan kebangkitan nasionalisme. Krisis timbul di Yugoslavia dengan pelemahan komunisme di Eropah Timur menjelang akhir Perang Dingin pada akhir 1980-an. Di Yugoslavia, parti Komunis persekutuan, yang nama rasminya Perikatan atau Liga Komunis, makin pudar dominasi ideologinya.

Pada masa yang sama, fahaman nasionalisme dan separatisme bangkit pada akhir 1980-an di seluruh Yugoslavia. Ini memang jelas berlaku di Serbia, Croatia, dan Bosnia dan Herzegovina, tetapi kurang ketara di Slovenia dan Republik Macedonia. Kebangkitan kuasa Slobodan Milošević di Serbia, dan retoriknya yang menyebelahi kesatuan semua orang Serb, dibalas dengan gerakan nasionalis di republik-republik lain, khususnya Croatia dan Slovenia. Republik-republik ini mula menggesa lebih autonomi dalam persekutuan, termasuk status gabungan dan kemerdekaan sepenuhnya pun. Nasionalisme juga bangkit dalam Liga Komunis yang masih memerintah. Maka pelemahan rejim komunis membolehkan nasionalisme melebihkan pengaruhnya dalam politik Yugoslav. Pada Januari 1990, Liga Komunis berpecah mengikut Republik individu.

Pada Mac 1989, krisis Yugoslavia makin parah setelah pengamalan pindaan-pindaan dalam perlembagaan Serbia yang membolehkan kerajaan republik Serbia menuntut semual kuasa efektif terhadap wilayah-wilayah autonomi Kosovo dan Vojvodina. Kerajaan Serbia mendakwa bahawa situasi yang sebelumnya tidak adil dalam membenarkan wilayah-wilayah ini terlibat dalam pemerintahan Pusat Serbia manakala Pusat Serbia tiada kuasa terhadap apa yang berlaku dalam kedua-dua wilayah ini. Maka, Serbia di bawah Presiden Slobodan Milošević meraih kuasa dengan tiga daripada lapan undian presiden Yugoslav. Dengan undian tambahan dari Montenegro dan, kadang-kala, Bosnia dan Herzegovina, maka Serbia mampu kuat mempengaruhi keputusan kerajaan persekutuan. Situasi ini menghadapi bantahan di republik-republik lain serta gesaan untuk pembaharuan Persekutuan Yugoslav.

Pada Kongres Luar Biasa Liga Komunis Yugoslavia ke-14, pada 20 Januari 1990, delegasi republik-republik tidak dapat mencapai kata sepakat dalam isu-isu utama dalam persekutuan Yugoslav. Akibatnya, delegasi Slovenia dan Croatia meninggalkan Kongres. Delegasi Slovenia yang diketuai Milan Kučan menggesa perubahan demokratik dan persekutuan yang lebih longgar, sementara delegasi Serbia yang diketuai Milošević, menentang cadangan itu sepenuhnya. Ini dikatakan sebagai bermulanya pengakhiran Yugoslavia.

Jata Republik Slovenia masa kini

Sejurus selepas itu, Slovenia dan Croatia memulakan proses ke arah kemerdekaan. Pilihan raya bebas yang pertama dijadualkan di Croatia dan Slovenia. Slovenia mengingkari ahli-ahli politik di Belgrade dengan memeluk demokrasi dan membuka masyarakatnya ke dalam lingkungan budaya, sivik, dan ekonomi kepada satu takat yang tidak diduga dalam dunia komunis.

Pada 23 Disember 1990, 88% pendduk Slovenia mengundi untuk kemerdekaan dalam satu pemungutan suara, dan pada 25 Jun 1991, Republik Slovenia mengisytiharkan kemerdekaan.

Satu peperangan dengan Yugoslavia menyusuli (27 Jun 1991 - 6 Julai 1991). Angkatan Tentera Rakyat Yugoslavia (JNA) berundur setelah Slovenia menunjukkan tentangan yang kuat terhadap Belgrade. Konflik ini mengakibatkan agak sedikit yang terkorban: 67 orang terbunuh menurut statistik yang disusun oleh Palang Merah Antarabangsa, kebanyakannya (39) ialah askar JNA.